CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Wednesday, July 2, 2008

Hina kaum India:ADUN minta tidak dipanjangkan lagi

IPOH 30 Jun - Pengerusi MIC Bahagian Gopeng, M. Krishnan merayu masyarakat India supaya tidak lagi membangkitkan isu berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Hamidah Osman yang disifatkan menghina kaum tersebut.

Beliau menegaskan, isu tersebut tidak seharusnya dipanjangkan kerana Hamidah sudah tiga kali memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat India berhubung perkara tersebut.

Katanya, beliau bersama ahli-ahli MIC Bahagian Gopeng juga sudah memaafkan Hamidah dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada ADUN tersebut.

''Saya merayu semua ketua-ketua cawangan dan pemimpin pertubuhan terutama di kawasan Gopeng supaya segera menamatkan isu ini demi menjaga keharmonian kaum di negara ini," katanya.

''MIC Bahagian Gopeng menyokong penuh Hamidah dan sudah melupakan kenyataan diucapkan oleh beliau," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Krishnan dan beberapa wakil pemimpin dari MIC, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kuil-kuil di daerah Gopeng telah mengadakan perjumpaan dengan Hamidah bagi membincangkan isu tersebut.

Dalam perjumpaan itu, Hamidah sekali lagi memohon maaf buat kali ketiga di atas keterlanjuran mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina kaum India kepada Speaker Dewan, V. Sivakumar semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jumaat lalu.

Hamidah membangkitkan kemarahan masyarakat India di negara ini termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu apabila bertanyakan kepada Sivakumar sama ada bersetuju dengan peribahasa mengatakan 'kalau jumpa ular dan orang India, bunuh orang India dulu'.

''Saya ingin meminta maaf seikhlas-ikhlasnya kerana tidak sengaja telah menyinggung perasaan kaum India di Malaysia.

''Kenyataan saya itu hanya perumpamaan Melayu yang bermakna jangan putar belitkan kata-kata tetapi mungkin maksudnya secara langsung menyinggung perasaan kaum India," jelasnya.

Ditanya kenapa beliau mengeluarkan kenyataan itu, Hamidah memberitahu, tujuannya hanya mahu mendesak Sivakumar menunaikan janjinya agar membenarkan ADUN Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar membahaskan titah ucapan Sultan Perak pada persidangan DUN.

''Khamis lalu, semua 28 ADUN pembangkang bertindak keluar dewan sebagai bantahan terhadap Sivakumar yang tidak menunaikan janji Timbalan Speaker untuk membenarkan Raja Ahmad Zainuddin berucap.

''Apabila menghadiri persidangan pada keesokan harinya, saya dengan tidak sengaja mengeluarkan kenyataan itu dengan niat mahu mengingatkan Sivakumar agar menunaikan janji tersebut," katanya

0 comments: